
SHAH ALAM: Skuad bawah 23 tahun negara menamatkan penantian 14 tahun untuk muncul juara Pestabola Merdeka selepas mencatat kemenangan 3-1 mengatasi Myanmar pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan itu adalah gelaran ke-11 untuk Malaysia dalam sejarah kejohanan yang mencecah edisi ke-39 kali ini, sekali gus menebus kekalahan 1-2 kepada lawan sama dalam aksi peringkat kumpulan sebelumnya.
Pencapaian itu mampu dianggap selaku hadiah terbaik daripada sukan tempatan sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, esok.
Edisi sulung Pestabola Merdeka sebelumnya diilhamkan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra sempena sambutan kemerdekaan negara pada 1957.
Ia juga hadir sebagai pengubat luka terbaik selepas bola sepak negara menjadi sasaran kecaman hebat ekoran daripada kempen mengecewakan ketika pusingan akhir Kejohanan Piala Asia, bulan lalu.
Lebih menarik, kejayaan itu turut dikongsi lebih 45,000 penyokong yang mengiringi cabaran kesebelasan negara dengan sorakan padu sejak wisel permulaan.
Bermula dengan penuh meyakinkan, skuad muda kendalian jurulatih, B Sathianathan itu membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 apabila Zaquan Adha Razak melepasi pertahanan lawan sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol, Aung Aung Oo.
Jurang kedudukan makin lebar apabila pemain pertahanan Myanmar, Khin Maung Lwin tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-56 selepas diasak Zaquan di depan gawang.
Empat minit kemudian, Safee Sali memperdaya benteng lawan sebelum meledakkan rembatan ke sasaran untuk gol ketiga pasukan negara. Gol tunggal Myanmar dijaringkan Tun Tun Win pada minit ke-73.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, menyampaikan hadiah kepada pemenang.











